INFOTERKINI

Thursday, September 18, 2008
MASIHKAH ADA LAGI SINAR KASIH (finale episod)
Nukilan Dr. Badrul Munir
Feb 2006, hidup aku mula disinari sinar. Tuhan telah mempertemukan aku dengan sayang. Aku membesarkannya dengan penuh kasih sayang. Walaupun ianya cuma seekor musang, dia amat menyayangiku. Perangainya yang tidak ubah seperti manusia kerana aku membelanya dari seawal matanya baru mencelik. Seisi warga burhan mengenali sayang. Namun sinar kasihnya tidak lama. Seperti ayah dan ibu, aku telah kehilangan kasih yang baru mula bertaut selama 2 bulan. Sayang telah hilang dari rumah sewaktu aku bercuti di New York City. Bagai mahu luruh jantungku bila aku mendapat berita dari New York yang sayang telah hilang dari rumah. Aku bagaikan ibu yang telah gila meratapi kehilangan seorang anak. Sebulan lamanya aku bersedih meratapi kehilangan sayang. Sehinggalah ke hari ini aku masih lagi mengingatinya.
Suatu pagi Nov 2006, aku dikejutkan dengan panggilan talipon ibu angkatku dari Kedah. Dia meminta agar aku pulang segera ke rumahnya. Katanya ada anak kongkang telah terkena renjatan elektrik dan terjatuh dari tiang elektrik. Keluarga angkatku menjaganya selama seminggu kerana aku masih sibuk bekerja. Awang, begitulah namanya diberi, adalah seekor monyet primitif yang agak kecil. Seminggu selepas itu barulah aku ada masa untuk pulang mengambil awang. Alangkah terkejut bila aku mendapati kedua-dua tangannya sudah tiada. Cuma yang tinggal kedua-dua tulang tangan. Bahagian isi sudah mula membusuk dan berulat. Kasihan awang menderita kesakitan. Aku terus bergegas membawa awang pulang ke UKM. Keesokkan harinya awang telah dibawa ke hospital veteriner, UPM. Awang dimasukkan ke dalam wad selama 3 hari dan terus dibedah. Doktor kata peluang untuk terus hidup sangat tipis. Lagi pun UPM tidak mempunyai simpanan darah dari jenis spesies awang. Aku cuma mampu berdoa dan bertawakal kepada Allah.
Awang telah selamat dibedah. Kedua-dua tulang tangannya telah dipotong. Awang sudah tidak mempunyai tangan lagi untuk bergerak dan memanjat. Kasihan awang. Atas nasihat doktor dan atas dasar perikemanusian, aku membawanya pulang ke rumah dan menjaganya. Alhamdulillah, Tuhan maha berkuasa. Awang masih cekal hidup walau terpaksa berjalan terinsut-insut. Kini sudah sekian lamanya awang denganku. Dia sudah pulih sepenuhnya dari trauma dan mula mengenali apa itu erti kasih sayang. Walaupun dia seekor binatang yang cacat, dia tahu menghargai dan membalas jasa baik budiku. Bila tiap kali aku jatuh sakit atau tertekan, awanglah tempat aku akan berkongsi kedukaan. Dialah tempat aku mengadu setiap hari. Kasih sayangnya walaupun seekor binatang adalah sangat ikhlas dan yang tak pernah berpura-pura. Dialah sumber inspirasiku. Aku terkadang sering tertanya, bagaimana kecekalan yang awang miliki untuk terus hidup tanpa kedua-dua belah tangannya. Bagaimanakah awang bolih tabah dengan jalannya yang terinsut-insut dan menyembam muka ke arah piring setiap kali dia nak makan. Jika awang boleh cekal dan tabah, mengapa tidak aku? Teringat pesan arwah ayah dulu, hidup ini mesti cekal dan tabah. Aku selalu bersyukur kepada Tuhan yang telah mendatangkan sayang dan awang dalam hidupku. Mereka telah banyak memberi sinar dan harapan dalam hidupku. Merekalah yang telah banyak memberi dan menumpang kasih sayang yang sejati. Kasih sayang yang sukar dijual beli, ikhlas dan yang tak pernah berpura-pura. Aku sangat menghargainya. Doaku, Tuhan panjangkanlah umur kedua-dua mereka walaupun sehingga hari ini, aku sendiri tak tahu dimanakah sayang berada. Esok pasti akan menjelang. Aku mungkin akan terus keseorangan. Mengemis kasih sayang yang tak pernah sudah. Namun matahari akan terus terbit diufuk timur. Terbitlah dengan sinar kasih sayang yang berpanjangan. Amin.
SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI MAAF ZAHIR DAN BATIN ikhlas daripada dr.badd
Labels: kisah tauladan

Tuesday, September 16, 2008
MASIHKAH ADA LAGI SINAR KASIH (episod 3)
Nukilan Dr. Badrul Munir Disember 2000 aku pulang ke tanah air dengan segulung ijazah. Aku diraikan dengan kegembiraan oleh kakak dan abang setibanya aku di KLIA. Namun kegembiraan itu tidak kekal lama. Sedetik cuma kegembiraan aku telah dirampas. Apabila aku tiba di rumah, aku mendapati ibu dalam keadaan yang sangat uzur. Ibu tidak dapat lagi berjalan. Sudah 3 bulannya lamanya ibu tidak dapat berjalan. Ibu telah lumpuh. Aku termanggu seketika melihat kesenggaraan ibu. Tiga bulan lamanya dia telah menderita. Tiga bulan lamanya dia merahsiakan penderitaannya dari aku. Tiap kali aku menaliponnya dari Amerika, dia selalu menyatakan dia sihat. Rupa-rupanya seisi keluarga telah berpakat untuk mendiamkan diri kerana takut akan mempengaruhi konsentrasi di saat-saat akhir pengajian ku.
Aku mengambil cuti rehat selama 2 minggu setibanya aku di tanah air. Aku mengambil kesempatan menjaga ibu di hospital. Seingatku aku menjaganya di bulan puasa. Sehari sebelum raya, ibu dibenarkan pulang ke rumah. Ibu merasa sangat gembira. Doktor ada berkata adalah lebih elok ibu di rumah. Kalau di hospital pun jururawat dan doktor banyak yang ambil cuti raya. Hampir tujuh tahun lamanya aku tak pernah berhari raya dengan ibu.Tujuh tahun lamanya aku berhari raya berseorangan di perantauan. Aku telah membelikan ibu sepasang kain yang sangat cantik. Aku juga telah menempah sepasang baju melayu yang sangat cantik berwarna hijau.
Di pagi shawal yang mulia itu, aku mengucup tangan memohon kemaafan dari ibu. Itulah saat yang paling terindah yang pernah aku rasakan sejak hampir tujuh tahun lamanya aku tidak pernah mengucup tangan ibu di pagi raya. Itulah hari raya yang sangat meninggalkan kesan yang mendalam dalam hidupku. Itulah hari raya yang paling bermakna dalam hidupku.Untuk terakhir kalinya aku berhari raya dengan ibu kerana sebulan selepas itu ibu pergi meninggalkan aku buat selama-lamanya. Pergi seperti ayah, yang tak akan kembali lagi. Aku telah kehilangan kasih ibu. Aku telah kehilangan kasih ayah. Ayah telah kehilangan kasih segala-galanya.
Kini tiap kali syawal menjelang. Aku cuma sendiri. Berhari raya berseorangan di rumah pusaka. Apa dayaku, tidak seperti insan-insan yang lain, punya ayah dan punya ibu. Hatiku selalu merasa hiba pabila tiap kali hari raya tiba aku melihat kegembiraan orang lain bersama ayah dan ibu. Sedih dan pilu bertambah bila tiap kali hari raya tiba, budak-budak Burhan akan menalipon atau sms menceritakan meriahnya suasana hari raya mereka bersama keluarga. Kemana pergi, kunjungi sedara sahabat taulan bersama ayah dan ibu. Sedangkan aku cuma mampu menumpang kegembiraan mendengar semua cerita itu walaupun jauh ke dalam lubuk hatiku ini hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa sedihnya dan betapa pedihnya.
Dan tiap kali raya datang, itulah saat yang paling hiba, saat yang paling sedih dan saat yang paling sensitif dalam hidupku. Aku cuma mampu memohon maaf dan melepaskan kerinduan di pusara ayah dan ibu. Di situlah aku selalu merasakan diriku semakin dekat dengan ayah mereka. Batu nisan mereka menjadi kucupan. Terlerai rasa rindu walaupun cuma sedikit. Feb 2006, hidup aku mula disinari sinar. Tuhan telah mempertemukan aku dengan....
bersambung "...siapakah dia yang membawa sinar bahagia didalam hidup nya ?? adakah sinar bahagia itu akan berkekalan?... Labels: kisah tauladan

Friday, September 12, 2008
MASIHKAH ADA LAGI SINAR KASIH (episod 2)
Nukilan oleh Dr.Badrul Munir Di situlah aku terserempak dengan seorang lelaki berjubah putih berjalan berseorangan. Siapakah beliau?mengapa berada disitu pada waktu begini?Entahlah, macam-macam bermain difikiranku. Entah-entah malaikat maut sudah datang untuk mengambil ayahku pergi.
Setibanya aku di hospital, aku melihat sekujur tubuh kaku yang mula diliputi dengan kain putih. Aku terdiam, terpaku di pintu. Duniaku terasa kosong. Kakiku terasa berat untuk melangkah bila melihat jururawat sedang meletakkan kain putih di atas tubuh ayah. Ibu berada di sisi ayah. “Dia pergi dengan tenang”. Seingat aku, itulah kata-kata yang ibu lafazkan. Ibu nampak tenang. Dia pun berpesan agar aku bertenang menghadapi kenyataan yang ayah sudah tiada lagi di dunia.
Ayah selalu berpesan, kalau dia mati dia tak nak aku menangis. Sememangnya aku tenang dan cekal menghadapi kematian itu. Aku mampu mengawal perasaanku. Cuma airmata aku gugur jua di saat akhir ayah dikafankan di rumah. Tatkala itu aku melihat wajah ayah berseri-seri tersenyum. Alangkah baiknya saat aku meninggalkan dunia ini satu hari nanti, aku pun begitu juga.
Dua minggu aku di kampung menemani ibu sebelum aku berangkat pulang ke Amerika. Hari terakhir aku di kampung, kami mengadakan kenduri doa selamat. Aku lihat ibu tak ada selera makan. Dia nampak sedih. Kesedihan jelas terbayang diwajahnya apabila aku mencium kedua-dua pipinya sebelum berangkat. Ibu menangis sepuas-puasnya apabila aku memberikan wang sebelum aku berangkat ke airport. Seumur hidupku. Aku tak pernah melihat ibu menangis sebegitu. Aku membiarkan sahaja ibu melepaskan kesedihan. Aku tahu dia seperti ayah, akan kembali cekal dan tabah semula.
Aku kembali ke bumi Amerika meneruskan pengajian ku. Berbakikan 2 tahun, aku akan pulang ke tanah air pada penghujung tahun 2000. Saat yang paling gembira bila aku menamatkan pengajianku dengan jayanya di sebuah universiti yang terkenal. Aku bangga menjadi pelajar Columbia University yang pernah mendapat ranking ke 9 terbaik dunia pada tahun 2005. Kejayaan aku miliki, itulah yang aku hadiahkan pada ibu yang setiap saat berdoa dan sabar menanti
Disember 2000 aku pulang ke tanah air dengan segulung ijazah. Aku diraikan dengan kegembiraan oleh kakak dan abang setibanya aku di KLIA. Namun kegembiraan itu tidak kekal lama. Sedetik cuma kegembiraan aku telah dirampas. Apabila aku tiba di rumah.....
bersambung..
"...apakah yang terjadi dirumah? Labels: kisah tauladan

|